17 anggota PGA dikuarantin, Pati ditahan positif Covid-19
PASUKAN Gerakan Am (PGA) berdepan risiko jangkitan Covid-19 dalam menjalankan tugas mengawal kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui sempadan negara.
Terbaru, seramai 17 anggota PGA Briged Tengah terpaksa dikuarantin susulan seorang Pati yang ditahan pasukan itu didapati positif wabak berkenaan.
Komander PGA Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, Pati terbabit antara 18 ditahan ketika cuba memasuki negara menerusi Jeti Perikanan Sekinchan.
"Dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada 15 Ogos lalu, mereka menaiki bot nelayan tempatan untuk menyelinap masuk ke negara ini.
"Bagaimanapun, taktik terbaru yang digunakan oleh Pati itu berjaya dihidu PGA susulan maklumat dan risikan dijalankan," katanya dalam sidang media di Kem Batalion 4 PGA, Semenyih hari ini.
Muhammad berkata, semua suspek disaring dan seorang daripadanya disahkan positif Covid-19.
Susulan itu, katanya, 17 anggota yang menyertai operasi berkenaan turut disaring dan diperintah kuarantin.
"Namun, keputusan ujian mendapati kesemua anggota negatif.
"Kita mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi anggota iaitu disanitasi sebelum dan selepas operasi bagi mengelak risiko dijangkiti wabak itu," katanya.
Sementara itu, berkongsi kejayaan PGA Briged Tengah sepanjang Januari tahun ini hingga 24 Ogos, beliau berkata, sebanyak 317 serbuan dilakukan dan berjaya menahan 291 orang serta merampas pelbagai barangan bernilai RM18.88 juta.
Menurutnya, daripada jumlah tangkapan itu 103 adalah rakyat tempatan manakala 214 warga asing berusia antara 20 hingga 60 tahun.
Beliau berkata, semua tangkapan itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010, Akta Perhutanan 1984/89, Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958 serta Akta Perikanan 1985.
