'Yang muda dan berani, inilah yang kita perlukan'


Biarpun segelintir pihak meragui masa depan parti politik dirancang bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berlainan pula minat yang ditunjukkan Sharifah Amani.
Pelakon dan pengarah itu kelihatan tidak sabar untuk melihat pencapaian gerakan politik berteraskan golongan muda negara yang digagaskan Syed Saddiq.
Keyakinan disandarkan Sharifah Amani terhadap ahli Parlimen Muar itu bukan dibuat tanpa sebab.
Katanya dia berbangga dengan usaha Syed Saddiq dan yakin ada dasar inovatif dan mengutamakan rakyat dibawa ahli politik muda tersebut.
“Saya bangga mereka orang muda Malaysia, tak sabar nak tengok apa hasil yang akan datang daripada mereka nanti," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Pelakon Terbaik Dari Langit itu menambah dia memang suka melihat orang muda berusaha gigih untuk membina masa depan yang lebih baik untuk semua.
"Yang muda dan berani - inilah yang kita perlukan.
“Mereka benar-benar mahu tahu masalah dan mahu menolong rakyat tak kira umur, bangsa, gender mahupun agama," katanya.
Mati seni mati budaya
Jika mereka dibenarkan memimpin kata Sharifah Amani, dia yakin masa depan negara akan menjadi lebih baik untuk semua.
Semalam, pemilik nama penuh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya itu mengundang perhatian ramai selepas dia memuat naik imej pertemuan julung kalinya dengan Syed Saddiq di media sosial.
Katanya tujuan pertemuan tersebut diadakan adalah untuk bertukar-tukar idea dan berkongsi pandangan mengenai industri hiburan tanah air.
Mengaku gembira dengan hasil pertemuan tersebut, Sharifah Amani, 34, berkata dia memahami bagaimana perasaan seseorang apabila suara mereka tidak diendahkan sewaktu cuba mengetengahkan sesuatu isu.
“Mungkin sebab dulu saya tak dihiraukan apabila membentangkan usul hal-hal penting buat industri seni. Justeru, saya tahu betapa pentingnya suara orang muda didengari.
“Saya berharap dia (Syed Saddiq) boleh bersuara untuk seni tanah air dan kepentingannya buat negara. Mati seni matilah budaya," katanya.
Menurut Sharifah Amani lagi kebanyakan orang muda memahami kepentingan seni untuk memelihara bahasa, budaya dan bangsa.